Print
Berita Semasa
Hits: 201

Kesatuan kakitangan Akademik Universiti Teknologi MARA (MITASA) mengambil maklum akan kenyataan Menteri Pendidikan YB Dr. Maszlee Malik bertarikh 21 Jun 2018 berkaitan sistem Pentaksiran Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) tidak lagi diwajibkan di universiti awam. Sejajar dengan itu, pihak MITASA sebagai kesatuan yang mewakili ahli-ahli akademik telah secara langsung mendapatkan pandangan dan maklum balas terhadap pelaksanaan iCGPA di UiTM. Ia juga adalah selari dengan saranan YB Menteri Pendidikan agar mana-mana universiti yang ingin meneruskan iCGPA perlu mendapatkan persetujuan kakitangan akademiknya menerusi sesi diskusi mahupun konsultasi. MITASA berpegang teguh akan keperluan persetujuan yang perlu dikekalkan di antara pihak pengurusan universiti dan kakitangan akademik yang merupakan tunjang kepada kedinamikan UiTM.

Berdasarkan kepada maklum balas yang diperolehi, pihak MITASA mengambil ketetapan untuk mengesyorkan agar iCGPA dihentikan pelaksanaannya di UiTM. Antaranya ialah pelaksanaan iCGPA di dapati telah menyebabkan tumpuan ahli akademik adalah lebih terarah kepada proses pendokumentasian serta terlalu memfokuskan kepada aktiviti pelajar. Keadaan ini secara langsung telah mengikis kecemerlangan akademik apabila kurangnya pemfokusan diberikan oleh ahli-ahli akademik dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ia juga telah menghadkan aktiviti ilmiah lain yang seharusnya menjadi fokus ahli akademik iaitu dari sudut menjalankan penyelidikan, penulisan dan pembentangan kertas kerja dan penyelidikan. iCGPA juga dikatakan adalah terlalu rigid dari sudut pelaksanaannya dan menghadkan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran. Adalah jelas bahawa bidang pengajian yang terangkum dalam gugusan Sains dan Teknologi, Pengurusan dan Perniagaan serta Sains Sosial dan Ilmiu Kemanusiaan bukan sahaja berbeza dari sudut falsafah dan pengajaran tetapi juga dari sudut pemakaian pemarkahan serta penilaiannya.

Walaupun iCGPA dikatakan sebagai penilaian yang bersifat holistik terhadap pencapaian pelajar namun hakikatnya ialah pembangunan metodologi yang dikendalikan pada tahun 2011 dan diimplementasikan pada September 2015 adalah tidak mengambil kira pandangan ahli-ahli akademik. Malahan penilaian terhadap pencapaian akademik yang didasari dengan LAPAN (8) tunjang utama yang bermula dengan pengetahuan, kemahiran psikomotor, kemahiran dan tanggungjawab sosial, nilai, sikap dan profesionalisme, kemahiran komunikasi kepimpinan dan kerja berpasukan, kemahiran penyelesaian masalah dan saintifik, pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat serta yang terakhir kemahiran mengurus dan keusahawanan adalah dinilai dengan gred akademik adalah jauh menyimpang daripada output sebenar. Apa yang berlaku ialah berlakunya penambahan penggredan dan kemasukan markah yang berlebihan sekaligus membebankan ahli akademik serta menyebabkan berlakunya kecenderungan kesalahan kemasukan markah. Keadaan ini adalah tidak adil kepada kakitangan akademik di UiTM yang rata-ratanya telahpun dibebankan dengan pengajaran sebanyak 18 jam dalam tempoh seminggu.

Selain itu, sejak iCGPA diperkenalkan secara “pilot test” pada tahun 2015 sehinggalah masa kini, terdapat universiti-universiti awam negara yang masih tidak mengimplementasikannya secara keseluruhan. Malahan universiti-universiti swasta secara keseluruhannya juga tidak mengimplementasikannya. Bersesuaian dengan keputusan yang diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan maka pihak MITASA menyokong agar iCGPA tidak diteruskan di UiTM. Ia juga adalah hasrat kakitangan akademik yang telah menyatakan konsensus mereka untuk iCGPA tidak diteruskan. Pihak MITASA beranggapan bahawa aspek ini perlulah dihormati kerana kedinamikan dan kecemerlangan akademik universiti adalah dipacu secara bersama antara pengurusan universiti serta tenaga akademiknya.

Bersandarkan kepada premis-premis yang telah dinyatakan pihak MITASA menegaskan bahawa adalah jelas implementasi iCGPA sewajarnya tidak diteruskan. Ia adalah mewakili suara ahli-ahli akademik di UiTM sendiri yang merupakan universiti awam terbesar di Malaysia. Pihak MITASA komited untuk terus membawa pendirian penolakan iCGPA sekaligus menyokong keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sekian.

 

Kesatuan Kakitangan Akademik
Universiti Teknologi MARA
Shah Alam, Selangor 

26 Jun 2018