PERLEMBAGAAN

KESATUAN KAKITANGAN AKADEMIK

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA

 

Peraturan 1.Nama dan Pejabat Berdaftar:

1.1       Kesatuan yang ditubuhkan di bawah peraturan-peraturan ini akan dipanggil Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi MARA (Kemudian dari ini disebut sebagai “Kesatuan”)

 

1.2       Pejabat Berdaftar dan tempat mesyuaratnya ialah di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan atau di mana- mana tempat yang ditetapkan oleh Majlis Kerja.

 

Peraturan 2. Tujuan

2.1       Tujuan Kesatuan ini seperti berikut:

2.1.1 Mempastikan satu organisasi yang lengkap bagi semua pekerja seperti yang ditentukan dalam Peraturan 3(1) dan memajukan kepentingan mereka dalam bidang perhubungan perusahaan sosial dan intelektual.

2.1.2 Mendapatkan serta mengekalkan untuk anggota-anggotanya mendapat kadar upah yang adil dan sesuai, keselamatan pekerjaan, masa kerja yang berpatutan, syarat-syarat pekerjaan dan memberikan nasihat dan pertolongan yang sewajarnya.

2.1.3Mengawalselia perhubungan antara majikan dan pekerja, antara anggota dengan anggota dan antara anggota dengan pekerja-pekerja lain dan mencuba menyelaraskan apa-apa jua perselisihan di antara mereka secara baik dan bermuafakat.

2.1.4 Membantu secara kewangan atau secara lain, kerja atau tujuan mana-mana kesatuan atau badan yang sah yang bertujuan mempermajukan minat sumber manusia, Kesatuan Sekerja dan ahli-ahli Kesatuan tertakluk kepada peruntukan Seksyen 50 Ordinan Kesatuan Sekerja 1959.

2.1.5 Memajukan kebajikan, sosial dan pendidikan anggota-anggotanya dengan apa jua cara yang sah yang difikirkan bermanfaat oleh mesyuarat am Majlis Kerja.

2.1.6 Memberi bantuan guaman kepada anggota–anggotanya yang berkaitan dengan pekerjaan mereka jika diputuskan oleh Majlis Kerja.

2.1.7 Memberi bantuan jika diputuskan oleh Majlis Kerja, seperti pembiayaan manakala teraniaya dan semasa pertikaian gaji.

2.1.8 Memajukan perundangan yang menjejaskan minat anggota- anggotanya khususnya dan ahli-ahli Kesatuan amnya.

2.1.9 Mengusahakan, jika diputuskan oleh satu Mesyuarat Agung, urusan penyuntingan, percetakan dan pengedaran mana-mana jurnal, majalah, risalah berita atau persuratan bercetak yang lain-lain untuk memajukan tujuan Kesatuan atau untuk memperkembangkan minat anggota-anggotanya.

2.1.10 Menubuhkan, jika diputuskan oleh satu Mesyuarat Agung, satu Tabung Kebajikan dan membuat peraturan untuk mentadbirkan Tabung itu. Peraturan ini tidak boleh dikuat- kuasakan hingga ianya didaftarkan oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja.

2.1.11 Pada amnya melaksanakan sebarang aktiviti yang sesebuah Kesatuan Sekerja dibenarkan di sisi undang-undang.

2.1.12 Tujuan-tujuan tersebut hendaklah dilaksanakan mengikut Peraturan-peraturan ini dan Ordinan Kesatuan Sekerja 1959.

 

Peraturan 3.Keanggotaan

3.1       Keanggotaan Kesatuan ini terbuka kepada semua Kakitangan Akademik (Pengajaran dan Penyelidikan) yang digaji oleh Universiti Teknologi MARA dengan syarat tiada seseorangpun yang mendapat pendidikan di bawah Ordinan Pendidikan 1957, dibenarkan menjadi anggota kecuali jika sekiranya ia:

i) pekerja bona fide menurut takrif Akta Kesatuan Sekerja 1959; dan
ii) berumur lebih 18 tahun.

3.2       Seseorang anggota Kesatuan yang belum berumur 18 tahun tidak berhak mengundi dalam hal-hal di bawah ini:

i) pemogokan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya,
ii) Mengenakan levi,
iii) Pembubaran Kesatuan atau mana-mana gabungan yang berkaitan,
iv) Pindaan peraturan-peraturan Kesatuan jika pindaan itu berkeputusan meningkatkan liabiliti anggota Kesatuan untuk mencarum atau mengurangkan faedah yang dinikmatinya.

3.3       Seseorang anggota Kesatuan yang berumur di bawah 21 tahun tidak boleh menjadi seorang pegawai atau seorang Pemegang Amanah Kesatuan.

3.4       Permohonan untuk menjadi anggota hendaklah melalui borang yang ditetapkan oleh Kesatuan dan disampaikan kepada Setiausaha yang akan menyerahkan kepada Majlis Kerja untuk kelulusan. Majlis Kerja boleh menolak mana-mana permohonan atas budibicara mereka dengan tidak memberi apa-apa sebab.

3.5       Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan oleh Majlis Kerja hendaklah didaftar di dalam buku Daftar Keanggotaan sebagai seorang anggota, setelah membayar yuran masuk dan yuran bagi bulan pertama dan dibekalkan percuma senaskah Perlembagaan Kesatuan.

 

Peraturan 4.Yuran dan Tunggakan

4.1      Bayaran yuran adalah seperti berikut:

Yuran masuk…………………..RM10.00
Yuran Bulanan…………………RM 6.00     Apa jua kenaikan dalam kadar tersebut akan ditentukan secara undi sulit mengikut Perkara 25.

4.2       Semua yuran bulanan hendaklah dibayar pada hari kerja pertama setiap bulan.

4.3       Seseorang anggota yang yurannya tertunggak selama 3 bulan akan dengan pertimbangan Majlis Kerja diberhentikan dari menjadi anggota dan lucut haknya dalam Kesatuan dan namanya akan dipotong dari buku Pendaftaran Anggota.

4.4       Seseorang yang keanggotaannya telah diberhentikan disebabkan yuran boleh memohon masuk semula sebagai ahli baru mengikut Peraturan 3.
4.5      Majlis Kerja mempunyai kuasa menetapkan kadar yang berkurangan untuk yuran bulanan anggota atau mengecualikan untuk sementara membayar yuran bulanan dan levi (jika ada) jika disebabkan menganggur, sakit atau benar-benar susah.

 

Peraturan5. Pemberhentian

5.1       Seseorang anggota yang mahu berhenti dari Kesatuan hendaklah memberi notis bertulis kepada Setiausaha sekurang-kurangnya seminggu dan hendaklah menjelaskan semua yuran dan tunggakan.

 

Peraturan 6. Hak Anggota

6.1       Semua anggota Kesatuan mempunyai hak yang sama kecuali dalam perkara-perkara yang tertentu yang dinyatakan dalam peraturan-peraturan ini.

 

Peraturan 7. Tanggungjawab Anggota

7.1       Adalah menjadi tanggungjawab tiap-tiap anggota membayar yurannya secara tetap dengan mendapat resit rasmi. Membayar yuran secara tetap adalah tanggungjawab anggota dan bukan tanggungjawab mana-mana pegawai Kesatuan.

7.2       Adalah menjadi tanggungjawab anggota memberitahu Setiausaha secepat mungkin jika berlaku pertukaran alamat atau tempat pekerjaan.

7.3       Seseorang anggota yang menghadiri mesyuarat Kesatuan atau menggunakan bangunan Kesatuan hendaklah berkelakuan sopan, jika tidak ia akan diperintahkan meninggalkan tempat itu oleh mana-mana pegawai yang bertanggungjawab kepada Kesatuan.

7.4       Seseorang anggota tidak dibenar mengedarkan dokumen atau pekeliling yang berkaitan dengan Kesatuan melainkan dokumen atau pekeliling itu telah diluluskan oleh Majlis Kerja. Tiada seorang pun anggota Kesatuan dibenarkan mendedahkan kandungan urusan atau hal-hal Kesatuan kepada bukan anggota, organisasi lain atau akhbar tanpa kebenaran Majlis Kerja.

7.5      Tidak seorang pun anggota Kesatuan dibenarkan menjadi anggota Kesatuan Sekerja yang lain melainkan mendapat kebenaran Majlis Kerja.

 

Peraturan8. Perlembagaan dan Pentadbiran

8.1        Kuasa tertinggi sekali Kesatuan terletak kepada Mesyuarat Agung melainkan hal-hal yang keputusannya wajib diambil secara undi sulit mengikut Perkara 25. 8.2 Tertakluk kepada syarat tersebut, Kesatuan hendaklah ditadbir oleh Majlis Kerja.

 

Peraturan.9.Mesyuarat Agung Dua Tahun Sekali

9.1       Mesyuarat Agung Kesatuan dua tahun sekali hendaklah diadakan secepat mungkin selepas 31 Mac dan tidak lambat dari 30 September dalam tahun itu. Tarikh, masa dan tempat mesyuarat akan ditentukan oleh Majlis Kerja.

 

9.2       Satu notis permulaan Mesyuarat Agung dua tahun sekali menyatakan tarikh, masa dan tempatnya dan permintaan mengemukakan usul untuk diperbincangkan dalam mesyuarat (termasuk usul pindaan kepada peraturan) dan pencalonan untuk pilihan Majlis Kerja hendaklah disampaikan oleh Setiausaha kepada semua anggota sekurang-kurangnya 28 hari sebelum tarikh mesyuarat.

9.3       Pencalonan untuk jawatan dalam Kesatuan dan usul yang hendak dibincangkan dalam mesyuarat hendaklah disampaikan oleh anggota kepada Setiausaha tidak lewat 15 hari setelah menerima notis permulaan. Semua pencalonan hendaklah dibuat dalam borang yang ditentukan oleh Kesatuan dan mengandungi butir-butir seperti berikut: nama jawatan yang dipertandingkan, nama calon, nombot kad pengenalan, tarikh lahir, alamat, pekerjaan, nombor Sijil Kewarganegaraan Persekutuan dan berapa lama telah bekerja dengan Universiti Teknologi MARA. Pencalonan tidak akan sah jika tidak:

i) ditandatangani sekurang-kurangnya oleh 3 penyokong yang keanggotaannya masih berhak.
ii) Mengandungi kenyataan persetujuan daripada calon yang mahu bertanding.

9.4       Setiausaha hendaklah menyampaikan kepada semua anggota 7 hari sebelum mesyuarat, satu agenda termasuk usul-usul, salinan laporan dan akaun dan kertas undi yang diperlukan beserta dengan sampul surat seperti dinyatakan dalam Perkara 25 bagi pemilihan ahli Majlis Kerja dan apa jua hal lain yang akan diputuskan secara undi sulit.

9.5       Kuarom mesyuarat agung dua tahun sekali hendaklah ¼ daripada jumlah anggota yang berhak mengundi atau sejumlah 50 yang mana satu yang rendah.

9.6       Jika ½ jam dari masa yang ditetapkan masih lagi kuarom tidak mencukupi, mesyuarat hendaklah ditangguhkan (tidak lebih dari 14 hari) kepada satu tarikh yang ditetapkan oleh Majlis Kerja.

9.7        Jika, dalam mesyuarat yang ditangguhkan itu kuarom masih juga tidak mencukupi ½ jam setelah masa yang ditetapkan, anggota yang hadir berkuasa menjalankan mesyuarat itu akan tetapi tidak berkuasa meminda Peraturan-peraturan Kesatuan.

9.8       Urusan Mesyuarat Agung dua tahun sekali ini hendaklah menerima laporan daripada Setiausaha, Bendahari (termasuk akaun tahun lalu yang telah diaudit) dan Majlis Kerja: menimbang dan memutuskan semua hal yang berkaitan dengan kebajikan anggota serta kemajuan Kesatuan: melantik Pemegang Amanah dan Penimbangtara bila diperlukan, Juruaudit Dalam dan Pemeriksa Kertas Undi: menimbangkan dan memutuskan semua hal yang lain yang termasuk dalam agenda: dan menerima laporan Pemeriksa Kertas Undi berkenaan pilihan ahli Majlis Kerja.

 

Peraturan10. Mesyuarat Agung Luar Biasa

10.1    Sesuatu Mesyuarat Agung Luar Biasa boleh diadakan:

i) bila-bila masa Majlis Kerja mendapati mustahak dan bermanfaat; atau
ii) dengan permintaan bersama secara bertulis tidak kurang seperempat daripada jumlah anggota yang berhak mengundi dengan menyatakan tujuan dan sebab hendak diadakan mesyuarat.

10.2     Sesuatu Mesyuarat Agung Luar Biasa yang dituntut oleh anggota hendaklah diadakan pada satu tarikh 14 hari dari penerimaan tuntutan itu.

10.3     Notis dan agenda bagi sesuatu Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah disampaikan oleh Setiausaha kepada semua anggota sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh mesyuarat.

10.4     Kuarom dan penangguhan mesyuarat agung dua tahun sekali seperti peruntukan dalam Peraturan 9 akan dikuatkuasakan juga untuk Mesyuarat Agung Luar Biasa tetapi dengan proviso jika tidak mendapat kuoram setengah jam selepas masa yang ditetapkan untuk Mesyuarat Agung Luar Biasa yang ditangguhkan, mesyuarat itu akan dibatalkan dan tidak lagi boleh menuntut mensyuarat agung luar biasa untuk tujuan yang sama selepas masa 6 bulan.

10.5     Jika Mesyuarat Agung dua tahun sekali, tidak dapat diadakan pada tarikh yang ditetapkan dalam Perkara 9, sesuatu Mesyuarat Agung Luar Biasa mempunyai kuasa melaksanakan mana-mana atau kesemua fungsi yang biasanya dibuat dalam Mensyuarat Agung dua tahun sekali.

 

Peraturan 11.Pegawai dan Pekerja Kesatuan

11.1     Seseorang pegawai Kesatuan bermakna seseorang Ahli Majlis Kerja Kesatuan.

11.2      Seseorang itu tidak boleh dipilih atau bertugas sebagai pegawai Kesatuan jika:
i) ia bukan anggota Kesatuan; atau
ii) ia belum melebihi umur 21 tahun; atau
iii) ia bukan warganegara Persekutuan Tanah Melayu; atau
iv) ia belum bekerja di bawah Universiti Teknologi MARA sebelum sekurang-kurangnya 3 tahun; atau
v) ia telah menjadi anggota eksekutif sesebuah kesatuan sekerja yang pendaftarannya telah dibatalkan mengikut peruntukan perenggan kata (iv) atau perenggan kata (vi) subseksyen (1)(b) dari Seksyen 15 Ordinan Kesatuan Sekerja 1959, atau enakmen yang digantikan dengan Seksyen 79; atau
vi) ia telah disabitkan kesalahannya oleh mana-mana mahkamah undang-undang kerana pecah amanah, jenayah, pemerasan atau mengugut, atau apa jua kesalahan yangserius; atau
vii) ia adalah seorang pegawai atau pekerja sesuatu kesatuan sekerja yang lain; atau
viii) ia adalah seorang pegawai atau pekerja sebuah parti politik.

11.3    Tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Agung, Majlis Kerja berkuasa menggaji pekerja jika difikirkan perlu; dengan syarat pekerja itu tidak boleh menjadi pegawai kesatuan melainkan ia dikecualikan di bawah peruntukan Seksyen 30 Ordinan Kesatuan Sekerja atau bertugas dengan demikian rupa hingga hal ehwal kesatuan kelihatan dalam pengurusannya. Juga dengan syarat, tiada seseorang pun boleh menjadi pekerja seperti tersebut jika:

i) ia bukan warganegara Persekutuan; atau 
ii) ia telah disabitkan oleh mana-mana Mahkamah kesalahan yang serius dan belum mendapat keampunan bebas berkaitan tersebut; atau
iii) ia adalah pegawai atau pekerja mana-mana kesatuan sekerja yang lain; atau
iv) ia adalah pegawai atau pekerja sebuah parti politik

 

Peraturan12.Majlis Kerja

12.1    Pentadbiran Kesatuan dan perjalanan pengurusannya termasuk pertikaian kerja dalam masa di antara Mesyuarat Agung dua tahun sekali terletak hak pada Majlis Kerja.

12.2     Majlis Kerja hendaklah terdiri daripada seorang Presiden, seorang Naib Presiden, seorang Setiausaha, seorang Penolong Setiausaha, seorang Bendahari dan lapan Anggota Majlis. Anggota Majlis Kerja akan dinamakan Pegawai Kesatuan. Mereka akan dipilih dua tahun sekali oleh semua ahli secara undi sulit. Jika seseorang calon untuk sesuatu jawatan tidak ditentang dan penamaannya telah dibuat seperti ditetapkan dalam Perkara 9(3), ia akan dianggap telah terpilih secara automatik dan namanya akan dikeluarkan dari kertas undi untuk pilihan pegawai. Disyaratkan juga bahawa Majlis Kerja yang pertama hendaklah dipilih secara undi sulit dalam masa 6 bulan selepas pendaftaran Kesatuan dan hingga berlakunya pilihan tersebut, Majlis Kerja penaja yang dibentuk pada hari penubuhannya akan menguruskan hal-ehwal Kesatuan. Anggota Majlis Kerja akan memegang jawatan dari satu Mesyuarat Agung hingga ke Mesyuarat Agung yang berikut. Dengan syarat jika di suatu Mesyuarat Agung Luar Biasa suatu usul ‘tidak percaya” atas Majlis Kerja akan dengan segera berfungsi atas dasar sementara dan dalam masa sebulan dari Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah mengadakan pilihan pegawai baru secara undi sulit. Pegawai yang dipilih secara ini akan memegang jawatan hingga Mesyuarat Agung dua tahun sekali yang berikut. Apabila sahaja berlaku pertukaran pegawai, hendaklah pegawai atau Majlis Kerja yang bakal keluar itu dalam tempoh seminggu menyerahkan kepada pegawai atau Majlis Kerja yang mengambil alih semua rekod berkaitan dengan kerjanya atau pejabat mereka.

12.3    Majlis Kerja hendaklah bermesyuarat bila-bila diperlukan dan kuoram mesyuarat ialah separuh daripada jumlah anggotanya. Minit mesyuarat Majlis Kerja hendaklah disahkan di mesyuarat biasa Majlis.

12.4    Mesyuarat Majlis Kerja hendaklah dipanggil oleh Setiausaha dengan arahan atau persetujuan Presiden. Notis mesyuarat hendaklah diberi sekurang-kurangnya 5 hari sebelum mesyuarat. Permintaan untuk mengadakan mesyuarat oleh anggota Majlis Kerja yang lain hendaklah secara bertulis dialamatkan kepada Setiausaha.

12.5    Apabila sesuatu perkara berbangkit dan memerlukan keputusan segera Majlis Kerja dan mesyuarat tergempar tidak mungkin dapat diadakan atau keadaan tidak sesuai; Setiausaha boleh dengan kebenaran Presiden mendapatkan sesuatu keputusan secara surat pekeliling. Syarat di bawah ini hendaklah dipenuhi sebelum satu keputusan Majlis Kerja dalam perkara itu dianggap telah didapati;  i) Isu dan tindakan yang dicadangkan hendaklah dinyatakan sepenuhnya dalam pekeliling itu dan salinan pekeliling mesti disampaikan kepada semua anggota Majlis Kerja.
ii) Sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah anggota Majlis Kerja mesti menunjukkan secara bertulis sama ada mereka bersetuju atau menentang cadangan itu; dan 
iii) Keputusan mestilah diambil secara majoriti daripada mereka.

12.6    Keputusan yang diperolehi secara pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha dalam mesyuarat Majlis Kerja yang akan datang dan direkodkan selanjutnya dalam minit mesyuarat.

12.7    Mana-mana anggota Majlis Kerja yang gagal menghadiri mesyuarat Majlis sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa dapat memberi sebab yang memuaskan akan tidak layak dari memegang jawatan.

12.8     Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau disebabkan terlucutnya hak seseorang anggota Majlis Kerja itu, calon yang mendapat undi yang terbanyak selepas calon itu di pilihan yang lalu untuk jawatan yang berkaitan hendaklah dijemput mengisi kekosongan itu. Jika tiada calon seperti tersebut atau jika calon seperti tersebut menolak jawatan itu, Majlis Kerja akan mempunyai kuasa melantik mana-mana anggota untuk mengisi kekosongan.

12.9    Tertakluk kepada peraturan Kesatuan dan peruntukan dalam Ordinan Kesatuan Sekerja, 1959, Majlis Kerja boleh menggunakan semua kuasa tersebut dan melaksanakan sebarang kerja yang dianggap mustahak untuk memajukan kepentingan Kesatuan dan mencapai matlamatnya.

12.10   Majlis Kerja akan mengawal kewangan kesatuan dari pemborosan dan penyelewengan. Ianya akan memerintahkan Setiausaha atau mana-mana pegawai lain membuat pendakwaan atas mana-mana pegawai, pekerja atau ahli kerana pelesapan atau menyembunyikan mana-mana wang atau harta kepunyaan Kesatuan.

12.11   Majlis Kerja hendaklah memberi arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai kesatuan yang lain untuk menguruskan hal ehwal kesatuan. Tertakluk kepada peruntukan dalam peraturan 11, perenggan kata 1, Kesatuan boleh menggaji mana-mana pegawai atau pekerja yang difikirkan perlu untuk menjalankan pentadbiran Kesatuan dari sehari ke sehari dan menetapkan upahnya. Kesatuan boleh menggantung atau memecat mana-mana pegawai atau anggota kakitangan kerana kecuaian tugas, tidak amanah, tidak berkebolehan, enggan menjalankan keputusan Majlis Kerja atau kerana sebab yang lain yang Kesatuan fikirkan baik dan mencukupi untuk kepentingan Kesatuan.

12.12    Kesatuan hendaklah memberi arahan kepada Pemegang Amanah berkenaan dengan pelaburan wang Kesatuan.

12.13    Majlis Kerja boleh menggantung hak atau memecat keanggotaan atau melarang dari memegang jawatan seseorang ahli yang di dalam budi bicara mereka bersalah kerana mencuba mencacatkan Kesatuan atau membuat tindakan menyalahi peraturan Kesatuan atau membuat atau bersekutu dengan sesuatu pernyataan fitnah, menggunakan kata-kata kotor atau serangan kesat ke atas kesatuan, pegawainya atau polisi kesatuan. Sesuatu keputusan memecat seseorang anggota akan hanya berkuasa dari tarikh ianya disahkan oleh sekurang-kurangnya 50% anggota Kesatuan secara undi sulit. Arahan menggantung atau melarang itu hendaklah ditetapkan tempoh ianya berkuatkuasa dan syarat yang membolehkan ia ditarik balik.

12.14    Dalam masa di antara Mesyuarat Agung dua tahun sekali, Majlis Kerja hendaklah mentafsir peraturan-peraturan Kesatuan dan bila-bila perlu menentukan perkara yang peraturan tidak menyebutkan.

12.15   Kecuali satu undi sulit anggota Kesatuan diperlukan, semua keputusan Majlis Kerja adalah kuasa terikat ke atas semua anggota Kesatuan melainkan hingga dibatalkan oleh satu usul di Mesyuarat Agung.

 

Peraturan 13. Kewajiban Pegawai Utama Kesatuan

13.1     Presiden, dalam masa menyandang jawatannya itu, hendaklah mempengerusikan semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Majlis Kerja dan akan bertanggungjawab terhadap kesempurnaan mesyuarat-mesyuarat itu. Beliau mempunyai undi pemutus dan akan menandatangani minit tiap-tiap mesyuarat apabila telah diluluskan. Beliau bersama-sama Setiausaha dan Bendahari menandatangani semua cek bagi pihak Kesatuan, mengawasi pentadbiran am, hal ehwal Kesatuan dan mencuba mendapatkan kepatuhan peraturan oleh semua yang berkaitan.

13.2    Semasa Presiden tidak hadir, Naib Presiden hendaklah menggantikannya dan terletak hak kuasa seperti Presiden.

13.3    Setiausaha hendaklah mengelolakan urusan Kesatuan mengikut peraturan-peraturan dan menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Majlis Kerja. Beliau hendaklah mengawasi kerja mana-mana kakitangan yang digaji oleh Kesatuan. Beliau akan bertanggung- jawab mengelolakan semua surat dan menyimpan semua buku, dokumen dan kertas-kertas kepunyaan Kesatuan di pejabatnya mengikut cara dan peraturan yang diarahkan oleh Majlis Kerja. Beliau hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan merekod prosedingnya. Beliau hendaklah menyediakan atau berikhtiar supaya disediakan laporan Mesyuarat Agung dua tahun sekali. Beliau hendaklah menyediakan atau berikhtiar supaya menyediakan penyata tahunan dan semua dokumen yang lain-lain yang dikehendaki oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja dan menyampaikan semua kepadanya pada tarikh yang ditetapkan. Beliau hendaklah menyimpan daftar anggota, angka keanggotaan mereka dan tarikh mereka memasuki Kesatuan. Bersama dengan Presiden dan Bendahari beliau hendaklah menandatangani semua cek bagi pihak Kesatuan.

13.4    Penolong Setiausaha hendaklah membantu Setiausaha dalam semua kerja pentadbiran Kesatuan dan hendaklah menggantikan beliau semasa beliau tidak hadir.

13.5    Bendahari hendaklah bertanggungjawab berkenaan dengan semua wang yang diterima dan dibayar olehnya bagi pihak Kesatuan. Beliau juga hendaklah menyimpan dan memasukkan dalam buku akaun dengan baik seperti yang dikehendaki di bawah peraturan Kesatuan Sekerja 1959. Beliau hendaklah mengeluarkan resit bagi tiap-tiap wang yang diterimanya dan pegawai lain atau pekerja tidak dibenarkan menerima atau mengeluarkan resit tanpa kuasa yang tertentu diberi secara bertulis oleh Presiden dalam tiap-tiap keadaan. Beliau hendaklah bertanggungjawab di atas keselamatan semua buku akaun dan dokumen subsidiary Kesatuan dan tidak boleh dipindahkan dari tempat urusan rasmi tanpa diberi kuasa tertentu secara bertulis oleh Presiden dalam tiap-tiap keadaan. Beliau hendaklah menyediakan satu penyata kewangan bagi tiap-tiap mesyuarat Majlis Kerja dan untuk Mesyuarat Agung dua tahun sekali. Beliau hendaklah bersama-sama Presiden dan Setiausaha menandatangani semua cek bagi pihak Kesatuan.

 

Peraturan 14Pemegang Amanah 1

4.1      Tiga orang Pemegang Amanah yang mesti berumur 21 tahun ke atas dan yang tidak boleh berjawatan Setiausaha atau Bendahari Kesatuan hendaklah dilantik pada Mesyuarat Agung tahunan pertama dan akan memegang jawatan selagi dikehendaki oleh Persatuan.     Semua hartanah dan apa jua harta kepunyaan Kesatuan hendaklah diserah kepada mereka untuk diuruskan sebagaimana yang diarahkan oleh Majlis Kerja.

14.2    Kesatuan mempunyai kuasa membeli atau memajak untuk tujuan Kesatuan sebagai Kesatuan Sekerja atas nama Pemegang Amanah mana-mana tanah atau bangunan dan tertakluk kepada mana-mana undang-undang yang sesuai menjual, memindahkan, caj atau memajak mana-mana tanah atau bangunan yang dibeli.

14.3    Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan mana-mana harta Kesatuan tanpa kebenaran dan kuasa Majlis Kerja yang disampaikan secara bertulis oleh Setiausaha dan Bendahari.

14.4      Seseorang Pemegang Amanah boleh diberhentikan dari jawatannya dengan alasan tidak sihat, gila, tidak ada di dalam negeri atau apa-apa jua sebab yang tidak membolehkannya menjalankan kewajipannya atau tidak dapat melakukan secara yang memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pemecatan seseorang Pemegang Amanah sebelum Mesyuarat Agung dua tahun sekali, kekosongan itu hendaklah diisi oleh Majlis Kerja.

14.5    Mesyuarat Agung dua tahun sekali boleh melantik sebagai Pemegang Amanah Tunggal untuk kesatuan sebuah syarikat Pemegang Amanah mengikut definisi Ordinan Syarikat Pemegang Amanah 1949, atau mana-mana undang-undang bertulis yang mentadbirkan syarikat Pemegang Amanah 1949, atau mana-mana undang-undang bertulis yang mentadbirkan syarikat Pemegang Amanah di Malaysia Barat dan jika berlaku perlantikan tersebut, rujukan kepada “Pemegang Amanah” dalam peraturan, hendaklah ditafsirkan sebagai rujukan kepada syarikat Pemegang Amanah yang dilantik.

 

Peraturan15Juruaudit Dalam

15.1      Dua orang Juruaudit Dalam yang bukannya anggota Majlis Kerja hendaklah dilantik oleh Mesyuarat Agung dua tahun sekali. Mereka hendaklah mengaudit akaun Kesatuan tiap-tiap suku tahun dan menyampaikan laporannya kepada Majlis Kerja.

15.2     Buku dan akaun Kesatuan hendaklah diaudit oleh kedua-dua Juruaudit itu bersama-sama dan mereka hendaklah bebas melihat semua buku dan dokumen seperlunya untuk menyempurnakan tugas audit itu.

 

Peraturan16. Juruaudit Luar

16.1      Akaun am Kesatuan hendaklah diaudit oleh akauntan atau orang lain yang berkebolehan dan layak yang dipersetujui oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja dan hendaklah mendapat akuan berkanun. Kerja audit hendaklah dimulakan secepat mungkin sebaik saja ditutup kewangan iaitu 31 Mac dan hendaklah selesai sebelum 31 Mei. Juruaudit hendaklah bebas melihat semua buku dan dokumen seperlunya untuk menyempurnakan tugas audit.

16.2     Laporan Juruaudit hendaklah dibentangkan kepada Mesyuarat Agung dua tahun sekali dan satu salinan hendaklah dipamerkan dengan nyata di pejabat berdaftar Kesatuan.

 

Peraturan 17.Panel Pemeriksa Kertas Undi

17.1     Satu panel tetap seramai lima orang Pemeriksa Kertas Undi yang hendaklah bukan daripada pegawai yang berkhidmat dengan Kesatuan atau calon untuk jawatan pegawai Kesatuan dan yang seboleh-bolehnya tinggal di sekitar kawasan pejabat Kesatuan, hendaklah dilantik di Mesyuarat Agung tahunan yang pertama secara mengangkat tangan untuk menyediakan semua pengundian sulit. Seseorang Pemeriksa hendaklah memegang jawatan atas kehendak Kesatuan dan boleh digantikan dalam sesuatu Mesyuarat Agung. Sekurang-kurangnya dua orang pemeriksa hendaklah hadir manakala dijalankan undi. Mereka hendaklah melihat bahawa prosedur yang dibentangkan dalam kembaran peraturan ini dipatuhi sekeras-kerasnya dan hendaklah menyampaikan kepada Majlis Kerja satu pernyataan yang ditandatangani berkenaan keputusan undi dalam borang penyata yang ditentukan oleh Peraturan Kesatuan Sekerja 1959.

 

Peraturan18. Gaji dan Bayaran-Bayaran Lain

18.1     Gaji bagi pegawai dan pekerja sepenuh masa hendaklah ditetapkan pada bila-bila masa perlu oleh Mesyuarat Agung dua tahun sekali.

18.2     Pegawai-pegawai Kesatuan yang diminta berkhidmat secara sambilan bagi pihak Kesatuan bolehlah dibayar saguhati. Jumlah yang hendak dibayar hendaklah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung dua tahun sekali.

18.3     Pegawai dan wakil Kesatuan yang lain bolehlah dengan kelulusan Majlis Kerja diberi bayaran kerana hilang masa kerjanya dan semua perbelanjaan yang berpatutan kerana menjalankan urusan Kesatuan. Mereka hendaklah menyerahkan kepada Majlis Kerja suatu keterangan perbelanjaan dan hendaklah sedapat yang boleh disokong dengan resit atau bukti pembayaran yang lain. Had maksimum bayaran elaun dan perbelanjaan di perenggan ini hendaklah ditentukan dari masa ke semasa oleh Mesyuarat Agung dua tahun sekali atau dalam Mesyaurat Agung Luarbiasa dan Majlis Kerja tidak boleh meluluskan sebarang bayaran melainkan ianya dalam had yang ditentukan oleh Mesyuarat Agung.   Peraturan 19.Kewangan dan Akaun

19.1    Wang kesatuan boleh dibelanjakan untuk mana-mana satu atau kesemua tujuan di bawah ini:

i) Bayaran gaji, elaun dan perbelanjaan pegawai dan pekerja Kesatuan.
ii) Bayaran kerana kos dan perbelanjaan pentadbiran termasuk mengaudit akaun kewangan Kesatuan.
iii) Pendakwaan atau pembelaan sesuatu proseding undang-undang yang berkaitan dengan Kesatuan atau mana-mana anggota menjadi satu pihak, apabila pendakwaan atau pembelaan itu dilakukan untuk tujuan mendapatkan atau membela mana-mana hak Kesatuan atau sesuatu hak yang terbit dari perhubungan di antara seseorang anggota dengan majikannya.
iv) Menjalankan urusan pertikaian kerja bagi pihak Kesatuan atau mana-mana ahli dan juga bantuan untuk pertikaian kerja bagi pihak mana-mana kesatuan sekerja yang lain yang berdaftar atau mana-mana anggotanya.
v) Gantirugi kepada anggota kerana kerugian yang timbul dari pertikaian kerja.
vi) Elaun untuk anggota atau tanggungannya kerana kematian, umur tua, sakit, kemalangan atau hilang pekerjaan.
vii) Pembayaran untuk yuran pergabungan dengan sesuatu Persekutuan Kesatuan Sekerja , majlis penyelarasan Kesatuan atau badan penasihat yang berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis dalam negeri di Malaysia dan persatuan atau pertubuhan yang serupa yang ditubuhkan di luar negeri-negeri Malaya yang dipersetujui oleh Menteri dari semasa ke semasa.
viii) Pembayaran:

(a) Semua tambang keretapi, perbelanjaan keperluan kenaikan yang lain-lain, kos makanan dan penginapan, disokong dengan baucer bagi amaun yang tersebut seperti yang ditetapkan oleh Kesatuan.
(b) Wakil Kesatuan yang hilang gajinya yang sebenar kerana menghadiri mesyuarat yang berkaitan dengan kemajuan perhubungan perusahaan.
(c) Perbelanjaan yang bertujuan menubuhkan atau menyelenggarakan mana-mana kesatuan pekerja yang sah, badan penyelaras atau penasihat.


ix) Penyuntingan, percetakan, penerbitan dan edaran mana-mana jurnal, majalah, risalah berita atau percetakan persuratan yang lain-lain yang diterbitkan oleh Kesatuan untuk menjayakan kepentingan anggotanya atau untuk menjayakan kepentingan anggota selaras dengan tujuan dan peraturannya yang berdaftar.
x) Wang pergabungan kepada persatuan kebudayaan dan pendidikan yang berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis di Malaysia Barat dan persatuan atau pertubuhan yang serupa yang ditubuhkan di luar Malaysia yang dipersetujui oleh Menteri dari semasa ke semasa.
xi) Menjalankan aktiviti sosial, sukan, pendidikan dan aktiviti kebajikan anggota.
xii) Pembinaan bangunan yang bertujuan untuk urusan Kesatuan.

19.2    Wang Kesatuan tidak boleh digunakan sama ada secara langsung atau tidak untuk pembayaran sepenuhnya atau sebahagian daripadanya untuk denda, penalti yang dijatuhkan ke atas mana-mana orang oleh hukuman atau perintah mahkamah.

19.3     Semua wang kepunyaan Kesatuan yang tidak diperlukan untuk perbelanjaan semasa yang diluluskan hendaklah disimpan oleh Bendahari ke dalam bank yang dipersetujui oleh Majlis Kerja dalam masa tujuh hari wang itu diterima. Akaun bank hendaklah atas nama Kesatuan dan butir-butir akaun hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja.

19.4      Semua cek atau notis keluaran wang atas nama Kesatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Presiden atau semasa beliau tiada oleh Naib Presiden, Setiausaha dan Bendahari. Semasa Setiausaha dan Bendahari tiada, Majlis Kerja hendaklah melantik seorang daripada anggotanya menggantikan untuk menandatangan.

19.5     Bendahari boleh memegang Akaun Tunai Runcit tidak melebihi seratus ringgit dalam satu-satu masa. Dalam suatu masa tidak boleh dilakukan perbelanjaan melebihi lima puluh ringgit tanpa kebenaran Majlis Kerja terlebih dahulu. Bendahari hendaklah menyediakan belanjawan dua tahun untuk diluluskan oleh anggota dalam Mesyuarat Agung dua tahun sekali dan semua perbelanjaan yang dibuat oleh Kesatuan hendaklah dalam batas belanjawan dari semasa ke semasa dengan kelulusan yang diperolehi terlebih dahulu dari Mesyuarat Luarbiasa atau secara undi sulit. 
19.6     Semua harta Kesatuan hendaklah dimiliki bersama atas nama Pemegang Amanah. Wang Kesatuan yang tidak diperlukan untuk pentadbiran sehari-hari bolehlah dilaburkan dalam sekuriti Pemegang Amanah, selalunya dengan syarat Majlis Kerja berkuasa mengarahkan 25% dari wang itu dilaburkan dalam mana-mana sekuriti yang diluluskan oleh Majlis Kerja. Semua wang yang dilaburkan seperti tersebut hendaklah atas nama Pemegang Amanah yang memegang amanah bagi anggota Kesatuan.

19.7      Bendahari hendaklah menulis atau menguruskan supaya rekod dalam buku akaun Kesatuan semua penerimaan dan perbelanjaan wang Kesatuan. Apabila ia berhenti atau meletak jawatannya dari pekerjaannya pada atau sebelum 1 Jun tiap-tiap tahun dan pada bila-bila masa ia dikehendaki berbuat demikian oleh Majlis Kerja atau oleh anggota melalui suatu ketetapan yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa atau apabila dikehendaki oleh Pengarah Kesatuan Sekerja mana-mana kehendak yang berkaitan, suatu kenyataan yang benar dan sah tentang semua wang yang diterima dan dibayar dari masa mulai memegang jawatan itu dan jika ia telah terlebih dahulu pernah membentang akaunnya dari tarikh akaun dahulu dibentangkan. Ia hendaklah menyatakan baki wang di tangannya pada masa ia menyerahkan akaun itu dan juga menyerahkan semua bon, sekuriti atau harta-harta Kesatuan yang lain dalam simpanan atau jagaannya.

Peraturan 20 Pemeriksaan Buku dan Akaun

20.1     Sesiapa orang yang mempunyai kepentingan dalam wang Kesatuan boleh setelah memberi notis yang sewajarnya memeriksa buku dan akaun Kesatuan dan nama-nama anggota pada bila-bila masa yang sesuai atau di mana-mana tempat rekod-rekod itu disimpan.

Peraturan 21.Levi

21.1    Majlis Kerja boleh setelah sesuatu usul diluluskan secara undi sulit seperti Perkara 25, mengenakan levi ke atas semua anggota Kesatuan dan semua anggota (kecuali mereka yang dikecualikan oleh Majlis Kerja seperti peruntukan dalam peraturan 4, perenggan kata 5) hendaklah membayar levi yang disebut.
21.2    Jika seseorang anggota gagal membayar sesuatu levi dalam masa lima mingguataupun lebih seperti yang ditetapkanoleh usul itu, jumlahnya hendaklah dianggap sebagai tunggakan yuran bulanan Kesatuan dan anggota itu boleh terlucut haknya menurut peraturan 4.

Peraturan 22. Pertikaian Perusahaan

22.1     Jika seseorang anggota berhajat supaya diambil langkah berkaitan dengan syarat pekerjaan atau apa jua hal, ia hendaklah memberitahu Setiausaha sungutannya seberapa boleh secara bertulis dan Setiausaha hendaklah segera melaporkan hal berkenaan kepada Majlis Kerja. Apabila sungutan anggota itu disampaikan secara lisan, Setiausaha hendaklah menulisnya dan menyampaikan satu salinan dengan laporannya sekali kepada Majlis Kerja.
22.2   Jika berbangkit suatu pertikaian perusahaan, anggota berkenaan hendaklah menyampaikan hal itu untuk perhatian Setiausaha yang dengan segera hendaklah melaporkan fakta-fakta hal yang berbangkit kepada Majlis Kerja.
22.3   Kesatuan tidak boleh melancarkan mogok kecuali:

i) Majlis Kerja telah memberi kebenaran 
ii) Sekurang-kurangnya dua pertiga daripada anggota yang terlibat dan berhak mengundi mengikut Perkara 25 telah mengundi secara sulit bersetuju dengan tindakan yang dicadangkan.
iii) Keputusan undi sulit itu telah dimaklumkan kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja 1959. Majlis Kerja hendaklah tidak menyokong sesuatu pemogokan dengan kewangan Kesatuan atau secara lain kecuali telah mengambil undi sulit dan mendapat undi majoriti yang diperlukan untuk memberi persetujuan.

22.4    Sesuatu kumpulan anggota yang mengambil tindakan perusahaan yang melanggar Ordinan Kesatuan Sekerja 1959 atau peraturan Kesatuan dan selanjutnya anggota tersebut tidak layak menjadi anggota sesebuah Kesatuan Sekerja kecuali mendapat kelulusan dari Pendaftar Kesatuan Sekerja.

Peraturan 23. Kegiatan Pendidikan

23.1     Kesatuan boleh mendidik anggotanya melalui mesyuarat dan kelas. Kesatuan boleh juga menerbitkan persuratan atau mengambil tindakan seumpamanya untuk memajukan pengentahuan perusahaan, kebudayaan dan sosial mereka tertakluk kepada peruntukan statutori berkaitan dengan perbelanjaan Kesatuan yang dilaksanakan.

Peraturan 24. Peraturan dan Pindaan

24.1     Sebarang pindaan kepada peraturan yang akan mengakibatkan bertambahnya liabiliti anggota untuk mencarum atau mengurangkan faedah yang anggota berhak hendaklah hanya dibuat dan diluluskan oleh anggota secara undi sulit. Tertakluk kepada peruntukan ini, peraturan boleh dipinda oleh Mesyuarat Agung mengikut Peraturan 9 atau Peraturan 10 atau secara undi sulit.
24.2   Setiap pindaan peraturan hendaklah berkuat-kuasa dari tarikh didaftarkan oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja kecuali suatu tarikh yang terkemudian dari itu ditentukan dalam peraturan.
24.3   Satu salinan Peraturan Kesatuan bercetak dengan huruf rumi dalam bahasa Melayu atau Inggeris yang dilaksanakan hendaklah dipamerkan dengan terang di suatu tempat di pejabat Kesatuan supaya senang dibaca. Setiausaha hendaklah memberikan kepada seseorang yang memintanya dengan bayaran tidak lebih dari seringgit senaskhah.

Peraturan 25. Undi Sulit

 

25.1 Keputusan dalam hal-hal berikut hendaklah diambil secara undi sulit oleh semua anggota Kesatuan atau oleh anggota berhak yang terlibat tertakluk kepada peruntukan iaitu anggota yang belum mencapai umur 18 tahun tidak berhak mengundi dalam hal yang disenaraikan seperti (iii), (iv),(v) dan (viii).
i) Pemilihan Pegawai-pegawai Kesatuan (selain dari Pemegang Amanah) mengikut Peraturan 12.
ii) Pemilihan wakil ke sesuatu persekutuan Kesatuan Sekerja.
iii) Semua hal yang berkaitan dengan mogok mengikut Peraturan 22, perenggan kata 3.
iv) Mengenakan levi atau yuran khas.
v) Pindaan kepada Peraturan Kesatuan jika pindaan itu akan mengakibatkan bertambahnya liabiliti anggota untuk mencarum atau mengurangkan faedah anggota yang berhak.
vi) Bercantum dengan sesuatu Kesatuan Sekerja yang lain atau memindahkan urusan kepada  kesatuan sekerja yang lain.
vii) Memasuki atau menubuhkan sesuatu Persekutuan Kesatuan Sekerja.
viii) Pembubaran Kesatuan.

25.2    Untuk menjalankan undi sulit, prosedur yang dinyatakan dalam kembaran kepada peraturan ini hendaklah dipatuhi.

 

Peraturan 26. Pertikaian

26.1    Tiap-tiap pertikaian di antara:
i) Seseorang anggota atau seseorang yang menuntut peraturan ini, bagi satu pihak dengan Kesatuan atau pegawai Kesatuan bagi pihak yang lain; atau
ii) Seseorang yang tersinggung yang telah berhenti dari menjadi anggota Kesatuan atau seseorang yang menuntut melalui orang yang tersinggung itu bagi satu pihak dan Kesatuan atau pegawai bagi pihak yang lain; atau
iii) Kesatuan dengan seseorang Pegawai Kesatuan hendaklah diputuskan dengan jalan timbangtara.

26.2     Satu Jemaah Timbangtara terdiri tidak kurang daripada 5 orang hendaklah dilantik pada Mesyuarat Agung tahunan pertama Kesatuan. Mereka hendaklah bukan anggota Kesatuan dan tidak ada kaitan sama ada secara langsung atau tidak dengan wang Kesatuan. Jika berlaku kekosongan hendaklah dilantik gantinya pada Mesyuarat Agung berikut.

26.3      Pihak yang mengadu dalam sesuatu pertikaian atau seseorang yang dilantik olehnya hendaklah memilih dengan mengundi 3 nama daripada panel Penimbangtara yang nama mereka mula dicabut akan memutuskan pertikaian itu.

26.4     Dalam peraturan ini perkataan ‘pertikaian’ meliputi sebarang soal pertikaian yang timbul sama ada seseorang anggota atau orang yang tersinggung itu berhak terus menjadi anggota ataupun diterima kembali. Akan tetapi dalam kes seseorang yang telah berhenti menjadi ahli tidak meliputi sesuatu pertikaian selain dari pertikaian di antara seseorang itu dan Kesatuan atau Pegawai Kesatuan mengenai soal yang berbangkit semasa ia menjadi anggota.

26.5     Pihak yang tersinggung berhak membuat rayuan terhadap sebarang keputusan yang telah dibuat oleh Penimbangtara kepada Mesyuarat Agung dan keputusan itu adalah muktamad.

26.6    Bila mana pertikaian melibatkan perkara:

i) pemilihan pegawai kesatuan; atau
ii) kewangan dan akaun Kesatuan; atau
iii) tidak mematuhi mana-mana Peraturan Kesatuan
maka bolehlah pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian itu bersama-sama merujukkan pertikaian itu kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja.

Peraturan 27. Pembubaran

27.1     Kesatuan tidak boleh dibubarkan dengan sendiri melainkan dengan persetujuan yang diperolehi melalui undi sulit tidak kurang dari 75% anggota yang berhak mengundi.

27.2     Jika sekiranya Kesatuan dibubarkan seperti yang tersebut di atas, semua hutang dan liabiliti yang berlaku secara sah bagi pihak Kesatuan, hendaklah dijelaskan sepenuhnya dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut keputusan yang dibuat secara undi sulit.